Tuesday, December 22, 2009

Piala Emas Raja-Raja - Pulun Kedah Pulun....

BHARIAN...

Kedah yakin misi julang Piala Emas

Oleh Shukri Matt Ali
bhsukan@bharian.com.my


Md Nur Safwan Md Zain

Mahu ubati luka tersingkir Piala Malaysia

KEDAH yang menempuh musim suram Liga Malaysia mengharapkan percaturan gandingan muka lama dan baru menjadi realiti dalam misi merampas takhta Puncak Piala Emas Raja-Raja apabila bertemu Perlis di Stadium Darulaman, Alor Setar, Isnin ini.

Selepas ketua jurulatih, Mohamad Ramlee, membuktikan percaturannya menjadi ketika tuan rumah mengalahkan Singapura 2-1 dalam separuh akhir kedua, Sabtu lalu, skuad itu dijangka menggunakan khidmat pemain sama untuk memastikan piala berkenaan tidak dibawa pulang ke negeri Indera Kayangan.


"Tiada rombakan besar akan berlaku kerana pemain sama yang membawa Kedah ke final berada dalam prestasi membanggakan untuk mencipta sejarah di gelanggang sendiri," kata pengurus pasukan Kedah, Firdaus Jaafar.

Menurutnya, kehadiran pemain berpengalaman Liga Super Kedah termasuk penjaga gol Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohd Faizal Abu Bakar, Mohammad Shafiq Jamal dan Mohd Sanny Mat Isa, banyak memberi ilham kepada kemantapan skuad itu.

"Selebihnya, pemain muda Piala Presiden seperti Mohammad Nizat Salleh, Mohd Wan Asraf Wan Ali, Md Nur Safwan Md Zain, Mohd Zulfaizham Kamis dan Muammar Nur Halim Rahim, berjaya mengekang lawan di posisi pertahanan dan tengah," katanya.

Firdaus berkata, skuad terakhir untuk beraksi dalam perlawanan akhir akan ditentukan Mohamad yang turut dibantu penolongnya, Idris Man dan Hussin Jaffar yang mengendalikan latihan intensif pra-final sejak kelmarin.

"Kami amat berharap perlawanan itu akan memberi kelebihan kerana perlawanan di gelanggang sendiri pasti menambah semangat kepada pemain," katanya.

Juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 akan menerima wang tunai RM30,000 berserta piala pusingan manakala naib juara, RM15,000.


KOSMO!!!

Kedah azam hadiahkan trofi kemenangan kepada peminat


MAHFUZ (empat dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain Kedah yang akan menentang Perlis pada perlawanan akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja ke-69 di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.


PEMAIN Kedah yang beraksi pada final Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 menjanjikan aksi terbaik sekali gus mahu menghadiahkan peminat mereka piala kemenangan itu pada aksi di Stadium Darulaman, Alor Setar Isnin depan.

Kemenangan itu yang mampu dicapai juga sebagai bonus pemain kepada peminat setia bola sepak Kedah sekali gus menutup tirai 2009 dengan kejayaan setelah hampa tanpa sebarang piala skuad Liga Super Kedah musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengurusan tidak menjanjikan apa-apa insentif, namun berharap pemain boleh memberi bonus dengan memenangi piala itu.

Katanya, tawaran hadiah sebagai juara RM30,000 diharap menjadi pendorong kepada pemain untuk beraksi cemerlang sekali gus mengulangi kejayaan Kedah meraih piala itu pada 2005.

"Kita juga mahu muncul juara kerana mahu menghadiahkan kemenangan itu sempena keputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Januari depan," katanya pada sidang media di pejabat persatuan itu di Alor Setar, semalam.

Pada final 2005 Kedah muncul juara setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi yang berlangsung di Kota Bharu.

Turut hadir Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee serta pemain.

Pada majlis itu pengurusan serta pemain turut menerima bonus berjumlah RM10,400 sebagai bonus melangkah ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, penjaring utama pasukan, Mohd. Faizal Abu Bakar menjanjikan aksi terbaik dan berazam untuk menjaringkan gol sekali gus mencapai kemenangan untuk pasukan.

"Saya juga berharap dengan persefahaman dan kombinasi baik rakan sepasukan Kedah mampu meraih kemenangan," katanya yang menjaringkan enam gol sepanjang kejohanan itu.

Sementara itu, penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pula berharap rakan-rakan dapat membentuk kerjasama berpasukan bagi menyekat gawang dibolosi pasukan lawan.

"Pemain jangan leka, tumpuan kepada perlawanan perlu diberi sehingga ke wisel penamat," katanya.

Seorang pemain berusia 18 tahun, Mohd. Arfan Rashid pula berharap kesungguhan dan semangat beraksi di gelanggang sendiri menjadi pendorong untuk berjaya.

"Diharapkan rakan-rakan dapat menyerap tekanan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," katanya.

Selain wang tunai RM30,000 juara bakal membawa pulang piala pusingan manakala naib juara akan menerima wang tunai RM15,000.

Perlawanan akhir itu bermula 8.45 malam dengan tiket astaka utama dijual pada harga RM15, berbumbung (RM10) dan terbuka serta kanak-kanak (RM5).


UTUSAN MALAYSIA...

Kedah mahu tebus kehampaan skuad utama

ALOR SETAR - Pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah mahu menjadikan perlawanan akhir menentang Perlis di Stadium Darul Aman, Isnin ini sebagai medan untuk menebus kehampaan sukan bola sepak negeri ini yang hambar sepanjang musim 2009.

Selepas 'abangnya', skuad Liga Super Kedah gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang musim 2009, anak buah Mohamed Ramlee kini mahu memastikan kejuaraan dalam kejohanan yang pernah dimenangi Kedah sebanyak enam kali itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pentas perlawanan akhir di gelanggang sendiri Isnin ini memberi ruang dan peluang kepada para pemain untuk menebus maruah bola sepak negeri.

Justeru, katanya, pemain-pemain telah memberikan janji untuk mempamerkan persembahan terbaik mereka dalam usaha meraih kejuaraan ketujuh selepas kali terakhir memenanginya empat tahun lalu.

Katanya, ia sekali gus sebagai 'bonus' kepada peminat dan pasukan bola sepak utama Kedah yang kempunan untuk menikmati kejuaraan selepas dinobatkan juara treble berganda sebelum ini.

"Kita mahukan gelaran juara Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-69 sebagai hadiah penutup tirai musim ini dan penyuntik semangat kepada pasukan Liga Super Kedah untuk mengharungi saingan tahun depan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena persiapan Kedah menjelang perlawanan akhir berkenaan di sini semalam.

Pada majlis itu, para pemain dan jurulatih serta pengurus pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah turut diberikan bonus keseluruhan RM10,400 berikutan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir piala tersebut.

Mahfuz berkata, pertandingan Puncak Piala Emas Raja-Raja merupakan platform terbaik untuk melahirkan pemain pelapis kepada skuad bola sepak utama Kedah memandangkan kebanyakan pemain berusia bawah 23 tahun.

Malah katanya, beberapa pemain juga telah dikenal pasti untuk diserapkan ke pasukan Piala Presiden Kedah.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, para peminat dan penyokong bola sepak negeri ini diminta hadir membanjiri Stadium Darul Aman Isnin bagi memberi sokongan padu kepada skuad berkenaan.

"Sokongan kepada pasukan ini turut bermakna memberi sokongan kepada perkembangan bola sepak Kedah secara keseluruhannya," ujar beliau.


METRO...

Suntik semangat pemain

Oleh Irma Ernany Mohd
am@hmetro.com.my

BAGI menghargai kesungguhan pemain skuad Piala Emas Raja-Raja Kedah yang berjaya layak ke final, Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK) memberi imbuhan sebanyak RM500 seorang, semalam.

Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, imbuhan berkenaan diberikan sebagai menghargai semangat yang ditonjolkan pemain sepanjang perlawanan bagi kempen kali ini.

“Skuad Kedah sudah melalui beberapa perlawanan sengit seperti menentang Kelantan dan Singapura sebelum mara ke final dan ini adalah pencapaian besar buat mereka,” katanya pada majlis pemberian imbuhan itu di Stadium Darul Aman, Alor Star, semalam.

Beliau juga mengharapkan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain akan berterusan sehingga final demi memastikan mereka berjaya menjulang piala.

Sementara itu, penyerang muda Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar yang berjaya menjaringkan enam gol sepanjang kempen Piala Emas Raja-Raja berkata, beliau mengharapkan kesefahaman yang dibentuk jurulatih bersama pemain lain akan dapat diteruskan bagi menjulang kejuaraan.
“Enam gol yang saya jaringkan adalah kerana kerjasama daripada pemain lain dan saya berharap agar momentum ini diteruskan,” katanya.


Perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Star, Isnin ini dengan Kedah bakal bertemu dengan pasukan jiran, Perlis.

Kedah mara ke final selepas mengalahkan Singapura dengan agregat 3-2 manakala Perlis layak apabila mengatasi Johor dengan agregat 3-0.

Kali terakhir Kedah menjulang piala itu ialah pada 2005 selepas menumpaskan Kelantan 2-1.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails