Monday, March 8, 2010

Google Buzz Saingan Facebook ?

Dominasi Facebook dan Friendster dalam dunia tanpa batasan telah mendapat reaksi daripada gergasi enjin carian, Google, yang menawarkan pilihan baru bagi penggemar rangkaian sosial maya.




APABILA berbicara tentang laman rangkaian sosial, tentunya dua 'F' bermain di kotak fikiran kita. Facebook dan Friendster - kedua-dua laman rangkaian sosial ini telah berjaya menarik ratusan juta pengguna Internet di seluruh dunia.

Laman web yang suatu ketika dahulu hanya digunakan sebagai wadah menghimpunkan teman-teman lama dan baru, kini turut digunakan oleh syarikat-syarikat bagi mempromosi produk mereka.

Golongan selebriti juga memudahkan peminat mereka mengetahui perkembangan terkini menegnai aktiviti mereka.

Tidak hairan lagi apabila ia turut dijadikan platform oleh tokoh-tokoh politik untuk mendekatkan diri mereka dengan lingkungan berkepentingan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun telah mengambil inisiatif meletakkan dirinya bersama-sama rakyat jelata melalui Facebook bagi menyelami masalah dan mendengar cadangan secara terus daripada rakyat.

Pendekatan penerimaan input secara terus daripada rakyat ini tidak pernah diguna pakai sebelum ini. Pastinya fungsi tersebut dapat menambat hati rakyat kerana mereka tidak sekadar dapat melihat pemimpin mereka melalui kaca televisyen, tetapi dapat terus berinteraksi melalui wall atau dinding profil pemimpin mereka itu.




Dominasi Facebook dan Friendster di dalam dunia tanpa batasan ini telah mendapat reaksi dari gergasi enjin carian Google.

Sungguhpun Google telahpun memiliki laman web sosial versi mereka sendiri yang dikenali sebagai Orkut, namun sambutan terhadapnya agak hambar dan lebih mendapat sambutan pengguna di India dan Brazil.

Agar tidak ketinggalan dalam persaingan rangkaian sosial, pada 9 Februari lalu Google telah memperkenalkan Google Buzz, satu komponen rangkaian sosial yang diintegrasikan ke dalam aplikasi email web Gmail mereka. Pembangunan Buzz tertumpu kepada perkongsian foto, video dan juga pautan kepada pengguna Buzz yang lain.

Buzz membolehkan pengguna untuk memilih sama ada untuk berkongsi setiap kemas kini yang dilakukan secara global ataupun tertutup kepada sekumpulan teman-teman tertentu sahaja. Ia turut diintegrasikan dengan laman seperti Picasa, Flickr, YouTube, Blogger dan juga Twitter.

Buzz versi bergerak pula digandingkan dengan aplikasi popular Google Maps membolehkan pengguna melihat siapa yang berada berdekatan dengan mereka. Setiap pos kemas kini yang dibuat melalui Google Maps boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi tersebut.


MAMPUKAH Google Buzz mencuri perhatian penggemar aplikasi seumpamanya?

Selain dari teks, pengguna Buzz versi ini juga boleh memuat naik gambar ke dalam pos mereka.

Langkah Google memperkenalkan Buzz dilihat oleh penganalisa industri tidak lain tidak bukan sebagai satu langkah untuk memecahkan monopoli rangkaian sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira peringkat umur.

Tetapi apa yang lebih penting, perlindungan privasi terhadap pengguna wajar dititikberatkan agar tidak berlaku kebocoran maklumat peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saturday, January 2, 2010

Belang sebenar Chin Peng

Oleh Mohd Azis Ngah dan Safuri Kamarudin
bminggu@bharian.com.my



Pemimpin PKM itu tunjuk sikap angkuh mahu ideologi komunis diiktiraf

SEMINGGU lalu, genap 54 tahun peristiwa bersejarah Rundingan Baling 1955 yang diadakan selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955 bertempat di Baling English School atau nama barunya, Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putra (SRKTP).

Rundingan khas atau 'Baling Talk 55' antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng itu antara usaha menuntut keamanan, menghentikan pertumpahan darah, kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat. Proses rundingan di daerah pedalaman Kedah itu juga boleh dianggap antara usaha terakhir kerajaan meyakinkan British bahawa anak tempatan layak memerintah negara sendiri dan bersedia menuntut kemerdekaan.

Buktinya, beberapa hari hari selepas pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London meneruskan pula rundingan kemerdekaan dengan British.

Namun, Rundingan Baling dikatakan gagal - puncanya cukup mudah, iaitu kerana sikap ego, degil serta keengganan Chin Peng menerima keamanan, tidak sanggup menyerah diri dan memilih pertumpahan darah sebagai saluran perjuangannya.

Dari kiri Rashid Maidin, Chin Peng dan Chen Tien pada awal sesi rundingan. Gambar kecil, perakam suara yang dipasang pada siling bilik rundingan.

Sepanjang rundingan, Chin Peng sudah memperlihatkan sikap tidak percayakan sesiapa, sedangkan kerajaan bersusah payah menjayakan proses itu serta gencatan senjata bagi memastikan pertemuan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sedikit suntingan catatan Setiausaha Peribadi Tunku, Tan Sri Shafie Abdullah yang menyertai rundingan itu dan catatan wartawan, Harry Miller, memperlihatkan belang sebenar Chin Peng, tetapi maklumat berkenaan sebenarnya jarang dihebahkan.

Catatan berbunyi: "Pada petang 28 Disember 1955, masuklah Tunku bersama Encik David Marshall (Ketua Menteri Singapura), Encik Hamid Jumat, Datuk (Sir) Tan Cheng Lock, Encik Yaacob Latiff, Encik Too Joon Hing, Encik TH Tan dan Tuan Syed Jaafar Albar ke bilik rundingan.

Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin dibawa masuk ke bilik rundingan melalui jalan belakang, iaitu dari rumah penginapan mereka oleh Encik John LH Davis (Pegawai Daerah Butterworth). Chin Peng duduk bertentangan dengan Tunku dan diapit Rashid dan Chin Tien.

Orang ramai berkumpul sepanjang laluan ke sekolah untuk melihat wakil rundingan.

Sebaik saja duduk, Chin Peng terus memperlihatkan sikap curiga, memerhati keadaan sekeliling seolah-olah tidak percaya jaminan keselamatan yang dijanjikan kerajaan. Chin Peng curiga melihat sesuatu yang dilekatkan pada siling bilik rundingan.

Tunku menjelaskan, ia sebenarnya perakam suara untuk merekodkan butiran perbincangan dan meminta Chin Peng supaya yakin, bahkan membenarkan beliau sendiri memeriksa alat itu jika tidak berpuas hati.

Chin Peng bangun, diikuti Chen Tien lalu memeriksa bilik sebelah dan sekeliling tempat rundingan. Selepas berpuas hati, barulah mereka kembali semula ke kerusi rundingan."

Sikap tidak percaya dan curiga itu berterusan hinggalah tamat rundingan hari pertama. Chin Peng dan rakannya disediakan sebuah bilik tidur di bangunan bersebelahan tempat rundingan. Asal bangunan itu adalah rumah guru dan kini dijadikan galeri pameran.

Individu yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan buat pemimpin PKM itu ialah Jaafar Ismail, 83, tukang kebun sekolah yang bertanggungjawab menyiapkan keperluan rundingan, termasuk makanan dan minuman Chin Peng.

Membahasakan dirinya sebagai Pak Lang, Jaafar berkata, Chin Peng turut curiga dengan kemudahan yang disediakan di tempat penginapan dan langsung 'tidak menikmati' apa yang diterimanya.

"Saya diarahkan British supaya menyediakan bilik tidur, menyiapkan makanan dan minuman mereka. Sebuah bilik kecil mempunyai dua katil, siap dengan meja kecil untuk meletak makanan.

"Tetapi, sepanjang dua hari (rundingan), mereka langsung tak sentuh makanan. Langsung tak terusik, bila saya masuk selepas rundingan, keadaannya sama seperti asal. Ada yang kata, mereka takut makanan itu diracun," katanya.

Ketika diberi amanat penting itu, Pak Lang yang berasal dari Kampung Seberang Pekan, Baling, menyediakan roti, susu dan minuman yang semuanya diletakkan dalam bekas tin bertutup.

Anak jati Baling ini juga hairan bagaimana pemimpin PKM itu boleh bertahan dua hari tanpa makan dan minum. Terdetik dalam hatinya, jika beginilah keadaannya, rundingan pasti gagal kerana Chin Peng langsung tidak percayakan sesiapa.

Memang benar telahan itu kerana ketika rundingan tiba di penghujungnya pada hari kedua, Chin Peng sekali lagi memperlihatkan keangkuhannya untuk meneruskan ideologi komunis tetapi mahu memastikan kerajaan Tanah Melayu dan Singapura berkuasa penuh mengawal urusan pertahanan negara.

Chin Peng berjanji akan menghentikan peperangan serta merta jika syarat itu dipenuhi, lalu Tunku menjelaskan satu daripada sebab beliau ke England ialah untuk mendapatkan kuasa mengawal sendiri keselamatan dalam negeri.

Namun, Chin Peng menegaskan, meletak senjata bukan maksudnya menyerah senjata kepada kerajaan, keputusan yang kononnya hanya akan diambil mereka sekiranya PKM diakui dan kebebasan mereka tidak lagi disekat.

Sikap angkuh itu ditamatkan dengan kata-kata Chin Peng: "Berdamai ertinya menyerah diri. Menyerah diri ertinya satu penghinaan. Kami tidak akan menyerah diri tetapi akan berjuang sampai ke titisan darah terakhir".

Dengan tegas, Tunku membalas: "Kalau saudara tidak mahu menyerah kalah, kami juga tidak sanggup menerima saudara sekalian menjadi rakyat negeri ini. Kalau keamanan hendak dicapai dalam negeri ini, salah satu pihak daripada kita mesti menyerah.

"Saya tidak sanggup membiarkan Malaya menjadi seperti Korea atau Vietnam. Saya sendiri tidak akan menyerah, sebab itu saudaralah yang mesti menyerah diri," katanya.

Rundingan berakhir begitu saja disebabkan sikap Chin Peng yang angkuh, sedangkan pada pandangan Tunku, tempoh sehari sudah memadai untuk menyelesaikan rundingan.

Namun, Bapa Kemerdekaan ini sanggup memberi ruang dan peluang mendengar penjelasan Chin Peng hingga ke hari kedua, tetapi proses itu tetap juga menemui jalan buntu.

Info: Rundingan Baling

  • September 1955: Tawaran pengampunan beramai-ramai kepada komunis dan 40 juta risalah 'Tawaran Menyerah Diri' serta 12,000 pas pengampunan digugurkan di hutan belantara dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

  • Kandungannya 'kalau kamu menyerah diri, keluar dari hutan, kamu tidak akan dihukum kerana kesalahan yang kamu lakukan berhubung darurat'.

  • Akhir September 1955, Chin Peng memberi jawapan bertulis menyatakan perjuangan komunis berakhir dan meminta gencatan senjata serta rundingan menamatkan perang.

  • Surat itu dihantar dari Kampung Kelian Intan, Keroh, Perak kepada Tunku Abdul Rahman; Ketua Menteri Singapura, David Marshall; Sir Tan Cheng Lock dan pemimpin Parti Perikatan lain.

  • Pertemuan awal: kerajaan diwakili Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu, Ian C Wylie, manakala PKM oleh Chen Tien.

  • Tiga rundingan awal berlangsung di Kampung Kelian Intan (sehingga November).

  • Wylie yang juga bekas Pegawai Pasukan 136 ketika Perang Dunia Kedua cukup kenal Chin Peng dan Chen Tien kerana berkhidmat dalam pasukan sama.

  • Tiga hari selepas Tunku pulang dari Indonesia, Chin Tien membawa surat Chin Peng mengandungi cadangan rundingan.

  • Tempoh 10 hari terakhir Disember, pasukan keselamatan diarah melaksanakan gencatan senjata mengejut meliputi kawasan 400 batu persegi termasuk Baling, Kroh (Pengkalan Hulu), Kelian Intan dan sempadan Thailand.

  • Tiada kata sepakat dicapai selepas PKM enggan menerima pelan damai kerajaan dan meneruskan gerakan bersenjata.
  • Wednesday, December 30, 2009

    Datuk 88 tahun belajar sekolah rendah



    ABU BAKAR bergambar bersama rakan-rakan sekelasnya di Kano.


    KANO, Nigeria - Seorang datuk berumur 88 tahun, Abubakar Muhammad Barinjimi di sini masih belajar di sebuah sekolah rendah swasta dengan cita-cita untuk memperoleh ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam tempoh 25 tahun.

    Datuk kepada 60 orang cucu itu menaiki bas sekolah sejauh enam kilometer ke sekolah itu di sini untuk belajar bersama rakan-rakan sekelasnya yang berumur tujuh tahun.

    Dua cucunya turut belajar di sekolah itu.

    "Saya tekad memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang teologi sebelum meninggalkan dunia," kata Abubakar.

    Digelar Baba yang bermaksud bapa oleh penduduk setempat, dia memasuki sekolah rendah itu tahun lalu bagi mempelajari bacaan al-Quran dengan betul sebagai prasyarat untuk menjadi pakar teologi.

    Setelah memperoleh ijazah kelak, Abubakar bercita-cita untuk berdakwah mengenai Islam kepada orang bukan Islam yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

    Salah seorang anaknya, Sani Barinjimi berumur 42 tahun yang bertugas sebagai guru sebuah kolej berkata, dia dan saudaranya yang lain terkejut apabila bapanya mahu belajar.

    Menurutnya, pihak keluarga memberikan bantuan kewangan dan sokongan kepada bapanya itu.

    Jika masih hidup dan berjaya dalam peperiksaan, dia akan mendapat ijazah kedoktoran semasa berumur 120 tahun. - AFP

    Tuesday, December 22, 2009

    Piala Emas Raja-Raja - Pulun Kedah Pulun....

    BHARIAN...

    Kedah yakin misi julang Piala Emas

    Oleh Shukri Matt Ali
    bhsukan@bharian.com.my


    Md Nur Safwan Md Zain

    Mahu ubati luka tersingkir Piala Malaysia

    KEDAH yang menempuh musim suram Liga Malaysia mengharapkan percaturan gandingan muka lama dan baru menjadi realiti dalam misi merampas takhta Puncak Piala Emas Raja-Raja apabila bertemu Perlis di Stadium Darulaman, Alor Setar, Isnin ini.

    Selepas ketua jurulatih, Mohamad Ramlee, membuktikan percaturannya menjadi ketika tuan rumah mengalahkan Singapura 2-1 dalam separuh akhir kedua, Sabtu lalu, skuad itu dijangka menggunakan khidmat pemain sama untuk memastikan piala berkenaan tidak dibawa pulang ke negeri Indera Kayangan.


    "Tiada rombakan besar akan berlaku kerana pemain sama yang membawa Kedah ke final berada dalam prestasi membanggakan untuk mencipta sejarah di gelanggang sendiri," kata pengurus pasukan Kedah, Firdaus Jaafar.

    Menurutnya, kehadiran pemain berpengalaman Liga Super Kedah termasuk penjaga gol Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Mohd Fazliata Taib, Mohd Faizal Abu Bakar, Mohammad Shafiq Jamal dan Mohd Sanny Mat Isa, banyak memberi ilham kepada kemantapan skuad itu.

    "Selebihnya, pemain muda Piala Presiden seperti Mohammad Nizat Salleh, Mohd Wan Asraf Wan Ali, Md Nur Safwan Md Zain, Mohd Zulfaizham Kamis dan Muammar Nur Halim Rahim, berjaya mengekang lawan di posisi pertahanan dan tengah," katanya.

    Firdaus berkata, skuad terakhir untuk beraksi dalam perlawanan akhir akan ditentukan Mohamad yang turut dibantu penolongnya, Idris Man dan Hussin Jaffar yang mengendalikan latihan intensif pra-final sejak kelmarin.

    "Kami amat berharap perlawanan itu akan memberi kelebihan kerana perlawanan di gelanggang sendiri pasti menambah semangat kepada pemain," katanya.

    Juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 akan menerima wang tunai RM30,000 berserta piala pusingan manakala naib juara, RM15,000.


    KOSMO!!!

    Kedah azam hadiahkan trofi kemenangan kepada peminat


    MAHFUZ (empat dari kiri) memberi kata-kata semangat kepada pemain Kedah yang akan menentang Perlis pada perlawanan akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja ke-69 di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.


    PEMAIN Kedah yang beraksi pada final Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 menjanjikan aksi terbaik sekali gus mahu menghadiahkan peminat mereka piala kemenangan itu pada aksi di Stadium Darulaman, Alor Setar Isnin depan.

    Kemenangan itu yang mampu dicapai juga sebagai bonus pemain kepada peminat setia bola sepak Kedah sekali gus menutup tirai 2009 dengan kejayaan setelah hampa tanpa sebarang piala skuad Liga Super Kedah musim ini.

    Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengurusan tidak menjanjikan apa-apa insentif, namun berharap pemain boleh memberi bonus dengan memenangi piala itu.

    Katanya, tawaran hadiah sebagai juara RM30,000 diharap menjadi pendorong kepada pemain untuk beraksi cemerlang sekali gus mengulangi kejayaan Kedah meraih piala itu pada 2005.

    "Kita juga mahu muncul juara kerana mahu menghadiahkan kemenangan itu sempena keputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Januari depan," katanya pada sidang media di pejabat persatuan itu di Alor Setar, semalam.

    Pada final 2005 Kedah muncul juara setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi yang berlangsung di Kota Bharu.

    Turut hadir Ketua Jurulatih, Mohamad Ramlee serta pemain.

    Pada majlis itu pengurusan serta pemain turut menerima bonus berjumlah RM10,400 sebagai bonus melangkah ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.

    Dalam pada itu, penjaring utama pasukan, Mohd. Faizal Abu Bakar menjanjikan aksi terbaik dan berazam untuk menjaringkan gol sekali gus mencapai kemenangan untuk pasukan.

    "Saya juga berharap dengan persefahaman dan kombinasi baik rakan sepasukan Kedah mampu meraih kemenangan," katanya yang menjaringkan enam gol sepanjang kejohanan itu.

    Sementara itu, penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pula berharap rakan-rakan dapat membentuk kerjasama berpasukan bagi menyekat gawang dibolosi pasukan lawan.

    "Pemain jangan leka, tumpuan kepada perlawanan perlu diberi sehingga ke wisel penamat," katanya.

    Seorang pemain berusia 18 tahun, Mohd. Arfan Rashid pula berharap kesungguhan dan semangat beraksi di gelanggang sendiri menjadi pendorong untuk berjaya.

    "Diharapkan rakan-rakan dapat menyerap tekanan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," katanya.

    Selain wang tunai RM30,000 juara bakal membawa pulang piala pusingan manakala naib juara akan menerima wang tunai RM15,000.

    Perlawanan akhir itu bermula 8.45 malam dengan tiket astaka utama dijual pada harga RM15, berbumbung (RM10) dan terbuka serta kanak-kanak (RM5).


    UTUSAN MALAYSIA...

    Kedah mahu tebus kehampaan skuad utama

    ALOR SETAR - Pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah mahu menjadikan perlawanan akhir menentang Perlis di Stadium Darul Aman, Isnin ini sebagai medan untuk menebus kehampaan sukan bola sepak negeri ini yang hambar sepanjang musim 2009.

    Selepas 'abangnya', skuad Liga Super Kedah gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang musim 2009, anak buah Mohamed Ramlee kini mahu memastikan kejuaraan dalam kejohanan yang pernah dimenangi Kedah sebanyak enam kali itu.

    Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pentas perlawanan akhir di gelanggang sendiri Isnin ini memberi ruang dan peluang kepada para pemain untuk menebus maruah bola sepak negeri.

    Justeru, katanya, pemain-pemain telah memberikan janji untuk mempamerkan persembahan terbaik mereka dalam usaha meraih kejuaraan ketujuh selepas kali terakhir memenanginya empat tahun lalu.

    Katanya, ia sekali gus sebagai 'bonus' kepada peminat dan pasukan bola sepak utama Kedah yang kempunan untuk menikmati kejuaraan selepas dinobatkan juara treble berganda sebelum ini.

    "Kita mahukan gelaran juara Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-69 sebagai hadiah penutup tirai musim ini dan penyuntik semangat kepada pasukan Liga Super Kedah untuk mengharungi saingan tahun depan," katanya.

    Beliau bercakap pada sidang media sempena persiapan Kedah menjelang perlawanan akhir berkenaan di sini semalam.

    Pada majlis itu, para pemain dan jurulatih serta pengurus pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah turut diberikan bonus keseluruhan RM10,400 berikutan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir piala tersebut.

    Mahfuz berkata, pertandingan Puncak Piala Emas Raja-Raja merupakan platform terbaik untuk melahirkan pemain pelapis kepada skuad bola sepak utama Kedah memandangkan kebanyakan pemain berusia bawah 23 tahun.

    Malah katanya, beberapa pemain juga telah dikenal pasti untuk diserapkan ke pasukan Piala Presiden Kedah.

    Sehubungan itu, Mahfuz berkata, para peminat dan penyokong bola sepak negeri ini diminta hadir membanjiri Stadium Darul Aman Isnin bagi memberi sokongan padu kepada skuad berkenaan.

    "Sokongan kepada pasukan ini turut bermakna memberi sokongan kepada perkembangan bola sepak Kedah secara keseluruhannya," ujar beliau.


    METRO...

    Suntik semangat pemain

    Oleh Irma Ernany Mohd
    am@hmetro.com.my

    BAGI menghargai kesungguhan pemain skuad Piala Emas Raja-Raja Kedah yang berjaya layak ke final, Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK) memberi imbuhan sebanyak RM500 seorang, semalam.

    Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, imbuhan berkenaan diberikan sebagai menghargai semangat yang ditonjolkan pemain sepanjang perlawanan bagi kempen kali ini.

    “Skuad Kedah sudah melalui beberapa perlawanan sengit seperti menentang Kelantan dan Singapura sebelum mara ke final dan ini adalah pencapaian besar buat mereka,” katanya pada majlis pemberian imbuhan itu di Stadium Darul Aman, Alor Star, semalam.

    Beliau juga mengharapkan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain akan berterusan sehingga final demi memastikan mereka berjaya menjulang piala.

    Sementara itu, penyerang muda Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar yang berjaya menjaringkan enam gol sepanjang kempen Piala Emas Raja-Raja berkata, beliau mengharapkan kesefahaman yang dibentuk jurulatih bersama pemain lain akan dapat diteruskan bagi menjulang kejuaraan.
    “Enam gol yang saya jaringkan adalah kerana kerjasama daripada pemain lain dan saya berharap agar momentum ini diteruskan,” katanya.


    Perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Star, Isnin ini dengan Kedah bakal bertemu dengan pasukan jiran, Perlis.

    Kedah mara ke final selepas mengalahkan Singapura dengan agregat 3-2 manakala Perlis layak apabila mengatasi Johor dengan agregat 3-0.

    Kali terakhir Kedah menjulang piala itu ialah pada 2005 selepas menumpaskan Kelantan 2-1.


    Sunday, December 20, 2009

    Wow..Arsenal Menang 3-0

    Pada pukul 1.30 pagi waktu Malaysia,
    20 Disember 2009,
    Pasukan Arsenal menemui rentak kemenangan
    dengan
    menewas pasukan Hull City
    dengan kemenangan bergaya 3-0...
    Gol-gol Arsenal dijaringkan melalui
    sepakan percuma cantik oleh Denilson,dikiuti dengan tolokan dengan bergaya Eduardo hasil hantaran lintang Diaby dan gol terakhir dijaringkan oleh
    Diaby...
    Pada perlawanan itu,Diaby nampak mengerakkan jentera
    serangan Arsenal dengan gerakan yang menarik...
    Jika dilihat dari serangan,Arsenal mampu menjaringkan lebih tiga gol...
    Chelsea berkelebihan 5 mata dan Man United 2 mata...
    Kekalahan Man Uinted 3-0 kepada Fulham
    semalam memberi kelebihan Arsenal untuk memintas di tangga kedua kerana
    Arsenal kekurangan satu perlawanan...
    Perlawanan seterusnya adalah
    bertemu dengan Aston Villa pada 27 Disember...
    Perlawanan ini agak mencabar kerana
    Aston Villa pasukan yang kental kerana sudah menundukkan dua pasukan elit
    iaitu Chelsea dan Man United pada perlawanan
    sebelum ini...
    Diharap Arsenal dapat menyentap ego Aston Villa Pada perlawanan
    yang akan datang ini...
    Hidup Arsenal...

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails