Tuesday, December 8, 2009

Kes penipuan SMS tersebar luas di utara

KULIM - Sekarang ini pelbagai cara dilakukan sindiket tertentu untuk menipu pelanggan dikesan setiap hari dan ada antaranya sanggup menggunakan nama syarikat minuman terkemuka semata-mata untuk mengelirukan mangsa.

Baru-baru ini satu lagi kes penipuan SMS dikesan melalui pesanan ringkas (SMS) yang tersebar luas sekitar Kedah dan Pulau Pinang yang mana si pengirim akan menghantar SMS yang bertulis ‘Tahniah! Simcard anda telah berjaya dalam :cabutan bertuah wang RM10,000 dari (sebuah syarikat minuman).

Sinar Harian mengupas penipuan yang dilakukan sindiket tidak bertanggungjawab ini. Melalui perbualan telefon terhadap nombor yang diberikan pengirim SMS, didapati talian itu digunakan seorang lelaki berbangsa Indonesia.

Dalam perbualan yang dirakam, sindiket itu bersungguh-sungguh meyakinkan si pemanggil bahawa dia telah memenangi cabutan simcard bertuah dan berjaya memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 hingga RM17,000.

Sindiket tersebut juga ada menyebut oleh kerana kesuntukan masa untuk menghantarkan hadiah kepada pemenang, mereka berkehendakkan nombor akuan bank mangsa untuk mereka memasukkan wang yang dimenangi.

Menyedari diri mereka diaju pelbagai soalan oleh wartawan Sinar Harian, sindiket tersebut mengesyaki panggilan itu dibuat polis dan kemudiannya melemparkan kata-kata kesat sebelum memutuskan talian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, sindiket ini cuba memperdayakan mangsa dengan menggunakan nama syarikat tertentu bertujuan mendapatkan nombor akaun mangsa.

Menurut beliau, sebelum ini terlalu banyak mangsa yang terpedaya dengan tipu helah dilakukan tetapi setelah pendedahan meluas dibuat pihak media mengenai penipuan mereka ini, mangsa lebih berhati-hati. Beliau tidak menafikan sebelum ini banyak laporan polis dibuat daripada mangsa.

“Apa sahaja jenis hadiah atau habuan ditawarkan melalui SMS adalah satu penipuan. Ia dilakukan bertujuan untuk menipu mangsa. Mereka akan cuba memperdaya mangsa dan pada akhir perbualan mereka akan meminta nombor akuan mangsa dan mendakwa akan memasukkan wang yang dimenangi itu ke dalam akaun.

“Mangsa yang terpedaya akan mengikut apa diarahkan dan akhirnya wang di dalam akuan mereka lesap. Sebelum ini, penipuan yang dilakukan oleh sindiket melalui SMS berjaya meyakinkan beberapa mangsa. Peranan media dan polis yang sering mendedahkan mengenai kes ini melalui akhbar dan televisyen menyedarkan masyarakat bahawa tawaran yang dibuat adalah satu penipuan,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada semua yang pernah menerima SMS mendakwa mereka memenangi wang tunai, agar tidak terpedaya dengan apa dikirim.

Menurut beliau, masih ada dalam kalangan mangsa yang tertipu dengan muslihat sindiket terbabit sehingga memberikan butir-butir peribadi kepada mereka dan akhirnya mengalami kerugian besar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails